SELAMAT BERPUASA

Monday, May 9, 2011

ETIKA KERJA

1. PENDAHULUAN

Bagi menjadikan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang pendidikan dan mewujudkan sistem pendidikan yang bertaraf tinggi, adalah menjadi tanggungjawab kepada semua warga pendidik melaksanakan tugas dengan baik. Sehubungan itu, satu etika kerja perguruan Islam yang mantap perlu diwujud dan diamalkan bagi memastikan setiap pendidik mempunyai sifat-sifat luhur, bertanggungjawab bagi menjamin tahap profesionalisme perguruan yang tinggi dalam menjalankan tugas di tempat kerja yang berhadapan dengan masyarakat.

Masyarakat menggunakan etika untuk menganalisis, menilai dan menentukan tingkah laku manusia telah mengikut peraturan yang ditetapkan. Dalam profesion perguruan mempunyai kod etika yang tersendiri berbeza dengan profesion yang lain, Para pegawai perlu mematuhi etika kerja bagi menjaga status, akhlak dan maruah dalam kerjaya, imej yang tinggi dapat memartabatkan profesion guru yang mulia ini.


2. PENGERTIAN ETIKA

Etika adalah suatu sistem tingkah laku bagi sesuatu kumpulan atau organisasi. Sistem ini meliputi aspek-aspek akhlak yang baik dan buruk, dengan tujuan untuk memberi garis panduan kepada ahli-ahli dalam seseorang organisasi. Etika dapat disamakan dengan akhlak, Dalam Islam, akhlak bermaksud amalan yang dilakukan oleh seseorang yang bertakwa dalam keseluruhan hidup. Kementerian Pendidikan Malaysia telah mewujudkan etika kerja untuk diamalkan oleh setiap pendidik. Etika kerja ialah panduan tingkah laku yang menjadi pegangan setiap pendidik yang berlandaskan kepada nilai-nilai akhlak mulia dalam profesion perguruan.


3. OBJEKTIF ETIKA

i. Menanamkan sikap yang positif dan menghapuskan sikap nagatif dalam melaksanakan tugas-tugas yang diamanahkan bagi mempertingkatkan kualiti kerja.

ii. Meningkatkan disiplin diri bagi menghasilkan perkhidmatan yang cemerlang kepada pelanggan dan organisasi

iii. Memberi sumbangan positif yang berterusan kepada Negara.


4. PRINSIP ETIKA


i. Niat yang betul

Melaksanakan pekerjaan dengan niat yang betul adalah penting dan dituntut olah agama Islam yang selari dengan kehendak Falsafah Pendiddikan Kebangsaan (FPK), misi, matlamat dan objektif Kementerian Pendidikan Malaysia. Pendidik perlu ikhlas dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab terhadap agama dan Negara, member sumbangan yang maksimum dan bermutu disamping memperbaharui niat untuk melakukan kebaikan pada setiap masa.


ii. Perlakuan yang baik

Pendidik perlu melakukan tugas dengan sempurna merupakan tanggungjawab ke arah mencapai hasil yang berkualiti di samping memperbaiki imej organisasi. Pendidik perlu menunjukkan penampilan diri, pertuturan dan perbuatan yang terbaik, menghasilkan kerja yang berkualiti secara berterusan, disamping memberikan kepuasan kepada pelanggan, menghargai dan bertanggungjawab terhadap hasil usaha organisasi.


iii. Penggerak ke arah kebaikan

Bagi setiap pendidik yang bertugas dengan Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah menjadi penggerak ke arah kebaikan. Mereka perlu menempilkan diri sebagai seorang yang dinamik, maju, berdaya saing dan dapat mendorong sesaorang melakukan kebaikan. Begitu juga harus berusaha agar hasil kerja dan amalan dapat menonjolkan cirri-ciri kecemerlangan dan ketinggian kualiti yang boleh menjadi sumber inspirasi kepada rakan sejawat, Berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menjadikan pekerja yang terbaik.

iv. Memperkotakan apa yang dikatakan

Para pendidik hendaklah sentiasa berusaha melaksanakan apa yang dikatakan, dengan menunjukkan ketekalan dalam tanggapan, pengucapan dan tindakan sama ada terhadap diri sendiri atau orang lain. Setiap perbuatan yang dilakukan mesti sesuai dengan apa yang diucapkan dengan menepati apa yang dinyatakan dalam piagam pelanggan.

v. Berdisiplin dan beradab

Aktiviti yang berperaturan, mulia, berdisiplin dan beradab adalah penting ke arah melahirkan warga Kementerian yang cemerlang. Pendidik perlu menjaga adab sopan seperti dalam ajaran Islam, mematuhi peraturan dan arahan perkhidmatan yang berpandukan prosedur dan kaedah yang sesuai dan betul.


5. NILAI UTAMA DALAM ETIKA KERJA

Walaupun terdapat banyak nilai mulia yang terdapat dalam Islam, tetapi tujuh nilai utama sahaja yang menjadi focus Etika Kerja Kementerian Pendidikan Malaysia, nilai-nilai itu adalah seperti berikut,

i. Amanah

Sifat amanah merupakan sifat yang penting dalam Islam, sifat bertanggungjawab dalam melaksanakan tugas tanpa menyalahguna kuasa dan kedudukan. Pegawai kerajaan hendaklah sentiasa menjalankan tugas yang diberikan dengan penuh tanggungjawab tanpa penyelewengan dan kecuaian. Disamping itu perlu bersikap jujur dan setia kepada organisasi tanpa menyalahkan kuasa dan kedudukan.

Menggunakan masa dengan sebaik-baiknya dan menyiapkan kerja dalam tempohyang ditetapkan dan tidak menggunakan masa kerja untuk urusan peribadi, Semasa bertugas sentiasa berdisiplin dan mengawal diri serta tidak melakukan sesuatu yang boleh menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap diri sendiri. Pegawai juga bertanggungjawab melaporkan penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa kepada ketua jabatan.

ii. Benar

Pegawai kerajaan perlu mempunyai niat yang baik dan jujur dalam melakukan sesuatu pekerjaan, tanpa niat yang tersembunyi aatau mengharapkan balasan. Bercakap benar dan menepati janji dengan tidak bercakap bohong dan mungkir janji. Semasa menjalankan tugas pegawai perlu member atau menerima arahan yang jelas dan tepat dan tidak mengelirukan.Rela berkongsi pengalaman, ilmu dan kepakaran untuk kejayaan bersama.

iii. Bijaksana

Dalam menjalankan tugas, seseorang pegawai menggunakan pemikiran dengan bijaksana dalam memberi keputusan dan tindakan yang sesuai dengan masa dan keadaan. Keseluruhan potensi , keupayaan dan kepakaran untuk menjayakan sesuatu tugas dengan cemerlang dan tidak mengambil jalan mudah. Kerja yang dijalankan itu, hendaklah kerja yang bermutu tinggi dan berkualiti.

Disamping itu, pegawai perlu mempunyai fikiran yang rasional dan pertimbangan yang saksama dalam menyelesaikan sesuatu masalah tanpa mengikut perasaan dan emosi, sifat bijaksana ini dapat mempertingkatkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan profesionalisme perguruan.

iv. Bersyukur

Perasaan dan perlakuan yang menghargai anugerah dan nikmat yang diterima dalam masa menjalankan tugas. Menghargai anugerah dan nikmat yang diterima tanpa menganggap kejayaan sebagai hak, begitu juga bersedia member pengiktirafan kepada mereka yang berjaya tanpa sebarang prasangka, dendam atau menabur fitnah.

Pegawai perlu dalam keadaan tenang dalam menghadapi masalah dan reda menerima ketetapan, kegagalan dan ujian serta tidak putus asa, Perkara yang penting adalah berpuas hati dengan nikmat yang diperolehi seperti ganjaran yang diterima dan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

v. Dedikasi

Bekerja dengan penuh minat dan rela mengorbankan masa dan tenaga secara berterusan dalam menghasilkan kerja yang berkualiti. Bekerja tanpa rasa jemu dan bosan serta bersedia untuk menerima tugas dengan tidak mencari sebarang helah.

Sanggup bekerja dengan berkorban masa dan tenaga demi kepentingan perkhidmatan, begitu juga bekerja dengan penuh tekun dan rajin serta bersikap positif dalam melaksanakan tugas, pegawai bekerja dengan menghasilkan kerja yang berkualiti. Dalam menjalankan tugas, pegawai perlu bertanggungjawab dengan penuh sabar, teliti dan ceria, tidak cuai dan merungut sebarang kerja yang diberikan kepadanya. Seorang pegawai perlu bersikap cergas dan pantas bekerja dan hasilnya menepati kehendak organisasi sendiri.

vi. Ikhlas

Berhati suci dalam menunaikan tanggungjawab untuk menghasilkan kerja yang terbaik tanpa mengharapkan ganjaran, menerima tugas dan tanggungjawab dengan rela dan hati yang suci, tidak berpura-pura atau mengelak daripada menerima sebarang tanggungjawab.

Pegawai menjalankan tugas semata-mata untuk mencapai matlamat organisasi, bukan kerana pangkat, kedudukan atau mendapat perhatian orang lain. Dalam menjalankan tugas, seorang pegawai perlu memberi layanan yang baik tanpa mengira pangkat, status atau kedudukan dan tidak bersikap pilih kasih, begitu juga bersedia menerima teguran dan kritikan dengan hati dan fikiran yang terbuka. Setiap pegawai bekerja dalam semangat saling hormat- menghormati antara satu sama lain tanpa sebarang kepentingan.

vii. Penyayang

Pegawai mempunyai perasaan dan perlakuan yang menunjukkan sikap memahami, menghargai dan mengambil berat dalam menjalankan tugas. Bersifat pemaaf dan penyayang, tidak berdendam, sombong dan suka meninggi diri. Pegawai perlu menganggap setiap orang mempunyai harga diri yang perlu dihormati tanpa sebarang prasangka buruk dengan bersifat bertimbang rasa dan suka mengambil berat dalam melaksanakan tugasnya.

Bekerja dengan menjadikan organisasi sebagai sebuah keluarga besar yang penuh kemesraan, dan bersifat simpati dan empati dalam menjalankan tugas seharian.


6. PENUTUP

Etika Kerja Kementerian Pendidikan hendaklah diamalkan oleh semua lapisan warga Kementerian Pendidikan Malaysia bagi meningkatkan kualiti kerja yang bermutu tinggi.

Setiap warga Kementerian Pendidikan Malaysia hendaklah bertekad dan berusaha mempertingkatkan kualiti peribadi dan profesion. Mudah-mudahan setiap kerja yang dilaksanakan mendapat keredaan Allah swt. Dan diterima sebagai ibadah.

No comments:

Post a Comment